mcmc
Maklumat Am

SEBENARNYAMY15 Disember 2020

Waspada Dengan Penipuan Menggunakan Maklumat Peribadi
Yang Diperolehi Melalui Bungkusan Pembelian Barangan
Secara Atas Talian

Menurut siaran media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK PDRM):

Merujuk kepada satu video yang tular berkenaan pihak yang tidak bertanggungjawab
telah melakukan penipuan dengan menggunakan maklumat peribadi mangsa terutamanya
nombor telefon bimbit yang diperolehi melalui bungkusan pembelian barangan secara
atas talian.

Dalam video tersebut, suspek telah memperolehi maklumat peribadi mangsa seperti
nama, nombor telefon dan alamat rumah daripada bungkusan kiriman barangan yang
dibuang oleh mangsa ke dalam tong sampah di tempat awam. Suspek akan mula menghubungi
dan mengganggu mangsa dengan menggunakan nombor telefon yang berlainan bertujuan untuk
mendapatkan wang. Seterusnya suspek akan pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai
pekerja syarikat penghantaran dan memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa yang berada
di rumah untuk membuat pembayaran terlebih dahulu kerana barang yang dipesan belum
dibuat bayaran lagi.

Bagi meyakinkan penerima, kaedah yang digunakan oleh suspek sama seperti pekerja
syarikat penghantaran yang lain di mana penerima perlu mengimbas kod bar sebelum
barangan diserahkan sebagai bukti penerimaan.

Kaedah pembelian secara atas talian telah menjadai trend masyarakat pada masa kini
kerana ianya menjimatkan masa dan harga yang ditawarkan pula lebih murah. Walaupun
sehingga kini, masih tiada laporan polis yang diterima berkait kes-kes sebegini,
pihak polis memberi jaminan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat akan dilaksanakan
sekiranya kes-kes sebegini dilaporkan.

Ingin diingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa berhati-hati apabila membuang
sampul surat atau bungkusan yang ada mengandungi maklumat peribadi mereka. Pastikan
pembuangan dibuat dengan cara yang selamat bagi mengelakkan maklumat tersebut
digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan.

Sekiranya ada membuat pembelian barangan secara atas talian dan barang tersebut
perlu dihantar ke rumah, pesan dengan ahli keluarga yang berada di rumah berkenaan
butir-butir syarikat penghantaran dan status bayaran. Bagi ahli keluarga yang berada
di rumah pula, jangan sewenang-wenangnya membuat pembayaran ke atas barangan yang
dihantar sebelum mendapatkan pengesahan daripada ahli keluarga yang membuat pesanan.

Masyarakat juga digesa untuk membuat laporan polis sekiranya pernah menjadi mangsa
penipuan yang menggunakan modus operandi sebegini agar siasatan sewajarnya dapat
dilaksanakan.

SUMBER:
Facebook Rasmi JSJK PDRM